Powered by Blogger.

Saturday, March 19, 2011

Budaya membaca semakin meningkat - Utusan Malaysia Online

KUALA LUMPUR 2 Mac - Rakyat Malaysia kini membaca purata lapan hingga 12 buah buku setahun berbanding hanya dua buah buku kira-kira tiga tahun lalu.
Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, data yang dibekalkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) itu menunjukkan berlaku perkembangan positif terhadap budaya membaca di kalangan masyarakat negara ini.
"Trend yang positif ini memberi keyakinan kepada kita bahawa perpustakaan mampu menjadi institusi yang menarik perhatian masyarakat," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Mari Membaca 1Malaysia di PNM di sini hari ini.
Rais berkata, statistik itu juga menunjukkan seramai 38 juta orang berkunjung ke perpustakaan di seluruh negara pada 2008 berbanding 21 juta orang pada 2007.
Jelasnya, peningkatan jumlah pinjaman buku di perpustakaan seluruh negara sebanyak 19.5 juta pada 2008 berbanding 12.6 juta pada 2007 juga merupakan bukti bahawa budaya membaca semakin meluas di kalangan masyarakat.
"Jumlah jualan buku di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada 2009 pula mencatatkan RM27 juta berbanding RM22 juta pada 2008," katanya.
Tambah Rais, statistik peningkatan itu memberi keyakinan bahawa industri buku di negara ini mampu melonjak ke tahap yang lebih baik pada masa depan.
Beliau berkata, program membaca yang telah dijalankan secara menyeluruh oleh PNM, perpustakaan awam dan perpustakaan desa di seluruh negara juga mendapat sambutan yang begitu menggalakkan.
Menurut Rais, setiap tahun tidak kurang dari 8,000 program membaca telah dilaksanakan dan mengikut statistik, jumlah penyertaan daripada masyarakat bagi tempoh tiga tahun kebelakangan ini semakin meningkat.
Katanya, kerajaan akan terus berusaha mempertingkatkan dan melaksanakan pelbagai aktiviti bagi menyemarakkan budaya membaca buku di kalangan rakyat negara ini.
"Saya akan berjumpa dengan beberapa pihak termasuk tokoh seperti bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk membantu kita dalam soal ini.
"Masyarakat biasanya akan terpengaruh dengan cara seseorang tokoh terutama seperti Dr. Mahathir yang suka membaca. Begitu juga saya akan berjumpa dan berbincang dengan pihak korporat untuk membantu menyalurkan bahan bacaan terutama ke perpustakaan di luar bandar," katanya.
Bagaimanapun di sebalik perkembangan positif itu, Rais menegaskan bahawa budaya membaca buku perlulah diseimbangkan dengan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) seperti komputer dan Internet.
"Saya menganggap lonjakan penggunaan komputer pada hari ini adalah saingan kepada buku.
"Jadi kita perlu mengimbangi keadaan itu kerana jika tidak ia akan menjadi bahaya kepada kita terutama kepada generasi muda yang lebih terikat terhadap teknologi ini," katanya.

0 comments:

  © Free Blogger Templates Blogger Theme II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP